Belajar Sebagai Berlayar


Mengaji itu perbuatan orang terpuji
Suka ilmu tidak kira ke mana pergi
Makin tahu makin menghina diri
Dipandang tinggi sedongak lembah
Berjalan tinggi sejejak langkah

Belajar umpamanya berlayar
Mesti berkiblat bertempat lagi beradat
Tak kira oleh bintang atau peta
Samada bertunjukkan bulan atau mata
Asalkan arahnya ada
Tempat tuju juga perlu muktamad
Ragu-ragu akan sesat
Tak minat maka tak dapat
Tenggelam jika terlebih berat
Adat budiman rukun orang terpuji
Tanyalah kalau tergaru-garu
Hormatlah seburuk-buruk guru
Resmi padi diamal dan diburu
Liang lahad penuh dengan ilmu

Belajar sepertinya berlayar
Dari perlabuhan ke perlabuhan
Sentiasa tunduk menadah tangan
Lutut, dahi, jemari dan telapak tangan
Selari, setapak, sama tinggi dipimpin iman
Tepat pada setiap gendang dan bayang
Jangan kucing bila mengemis makan
Pak belang bila sudah kenyang

Berlayar juga ada tempat asal
Darah dan tanah jangan dibuang
Ibu bapa saudara mara tersayang
Denai dan sungai kampung wajar dikenang
Walau sejauh rajawali terbang
Atau sehampir ayam melayang
Usah tanggang bangsa di negeri orang
Berdagang dosa menurut sebarang

Jika berlayar menjangka bunga
Maka jangkalah dilanda duka
Ibarat berlayar dua tujuan
Sama seperti dikendong berciciran
Kerana kiambang tidak kembang di lautan
Mawar tidak mekar dibenam papan
Jikalau mahu harus bijak seimbangkan

Jika karam kapal di tengah lautan
Jangan gundah gulana berisauan
Kerana mati seorang manusia itu wajib
Mati seorang Islam itu bernasib
Tapi mati seorang pelajar itu syahid


Buah Fikiran:
Raznawi

Comments