Sempena 31 Ogos: Hakikat Merdeka



Dahulu,
'Merdeka' adalah laungan segenap peparu
Diiringi tembakan genggaman di laluan bayu
Tujuh kali tujuh abjad raungan merayu
Kedambaan kehancuran belenggu
Ratapan itu menyentak pahit udara
Ke setiap penjuru nusantara, samudera dan angkasa.

Ketika itu,
Perajurit beragan mampu memejamkan mata
Setelah mentari fajar hari baru dilihatnya
Roh nenek moyang berehat dengan tenang
Kerana mimpi ratusan tengkujuh sudah terbentang
Yang akan dipegang sekuat-kuat erat
Dan tak akan terlepas walau se-zarat. 

Zaman cucu,
'Merdeka' adalah banduan di jeriji kamus
Dibebaskan pada setiap hujung Ogos
Diseksa parah oleh pesta jerayawara
Diusir hina pemikiran anak bangsa
Dikunyah berjuta mulut pelupa
Kemudian dipenjara semula. 

Nukilan Raznawi

Comments